Tatacara NILAM 2012

Sunday 6 September 2009

Membaca Pemangkin Kecemerlangan

Salam,

TABIAT membaca ialah suatu amalan yang baik untuk mendedahkan diri seseorang kepada ilmu pengetahuan dan peristiwa. Tabiat membaca seperti orang memakan nasi. Tanpa makanan, ibarat tidak lengkap hidup ini. Tanpa membaca ibarat tidak sempurna kehidupan hariannya. Seseorang yang mempunyai tabiat membaca yang baik bukan saja mempunyai minat yang tinggi terhadap pengetahuan, maklumat dan ilmu tetapi menyebabkan dorongan untuk membaca tidak boleh disekat. Dia akan membaca di mana saja dan kadang-kadang membaca apa saja. Tanpa bahan yang dibaca dia menjadi resah. Membaca baginya suatu kepuasan. Menerusi pembacaan seseorang dapat menambahkan maklumat, meluaskan pengetahuan, meningkatkan penguasaan ilmu dan memahami sesuatu peristiwa yang berlaku.Islam memang agama yang menganjurkan manusia membaca. Ayat yang pertama daripada Allah kepada Nabi kita ialah 'Iqra' atau 'Bacalah'. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang kepentingan akal iaitu 'Afala ya'qilun' untuk membolehkan manusia berfikir. Jalan mengembangkan pemikiran ialah menerusi membaca.
Amalan membaca yang tinggi menjadikan seseorang itu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih. Allah juga memberikan pedoman bahawa tidak sama darjat orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Darjat ilmu boleh didapati menerusi pembacaan. Islam juga menganjurkan umatnya bukan saja membaca sesuatu dari sudut yang tersurat tetapi mengkaji juga apa yang tersirat. Membaca apa yang tersurat saja faedah keilmuannya mungkin terbatas tetapi mendalami apa yang tersirat memberi manfaat yang besar kepada seseorang.Banyak yang boleh kita andaikan sekiranya remaja hari ini tidak minat membaca. Pertama, remaja akan ketinggalan untuk tahu perkembangan pesat yang berlaku di dunia hari ini.
Dunia hari ini berada di bawah telunjuk globalisasi yang menjadikan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca dan kalau membaca pun menumpukan perhatian kepada hal-hal yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahyul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, dia tidak mencanai dan mengembangkan ilmu. Kedua, tanpa bahan-bahan baik yang dibaca, remaja tidak akan melatih diri untuk berfikir dan menganalisis. Generasi yang tidak berfikir tidak akan menghasilkan idea-idea yang bermakna. Dalam buku terkandung sumber maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja. Buku merakamkan idea-idea yang berbagai-bagai, menghimpunkan analisis manusia tentang sesuatu peristiwa atau keadaan dan mencatatkan fakta dan data yang ditemui penulis dan pengkaji terhadap pelbagai perkara. Buku membantu remaja berkongsi, mengetahui dan mendapat jalan ilmu tentang perubahan dan kemajuan.Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca.
Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca ada semacam kekosongan dalam hidup. Apabila mendapat bahan yang hendak dibaca ibarat seseorang mendapat teman yang sangat dikasihi. Sebab itu orang Barat dan Jepun mampu menempa kemajuan dan perubahan. Mereka membaca dalam kapal terbang, dalam kereta api, sambil menunggu bas dan apabila ada masa terluang. Membaca dihubungkan rapat dengan kesempatan membaca.Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil elok didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang memikat minat mereka membaca. Walaupun pada peringkat awal anak-anak suka melihat gambar atau cerita-cerita yang bercorak kartun, galakan harus diberi supaya anak-anak suka membaca cerita.
Lepas itu galakkan anak-anak membaca cerita yang menghiburkannya dan akhirnya apabila tabiat sudah tumbuh berilah anak-anak bahan-bahan bacaan yang memberi maklumat dan menambah ilmu. Apabila anak-anak meningkat remaja, ibu bapa harus rajin membawanya ke kedai buku atau ke perpustakaan. Galakkan remaja menjadi ahli kelab-kelab buku dan sediakan peruntukan bulanan untuknya membeli majalah dan buku-buku yang berguna untuk mengembangkan minatnya membaca. Jadikan kebiasaan apabila anak-anak berjaya, buku dijadikan hadiah. Bagi remaja, membaca buku teks kadang-kadang menjadi suatu paksaan. Kalau tidak kerana tuntutan belajar dan ingin lulus dalam peperiksaan, buku teks akan terbiar begitu saja.
Sesetengah pula berpendapat bahawa setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, membaca sudah tidak perlu lagi. Banyak masa remaja dihabiskan di hadapan media elektronik bagi mendapatkan bahan-bahan yang bercorak hiburan, picisan malah kadang-kadang melalaikan. Para remaja harus memupuk kecenderungan membaca bahan-bahan yang baik dan berfaedah. Apa yang remaja baca ada kesannya pada minda, pada sikap mental malah pada tanggapan dan hobi.Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Ke-kuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Ia bermula sejak zaman remaja lagi. Sekiranya para remaja hanya cenderung membaca bahan-bahan ringan semata-mata dan tidak memiliki minat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, maka globalisasi yang sedang kita tempuh bakal menyebabkan kita terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan.
Proses negara maju harus seimbang dengan darjah berfikir rakyatnya. Darjah pemikiran rakyat hanya boleh meningkat sekiranya proses mendapatkan maklumat, menguasai ilmu, membandingkan bahan-bahan kajian dan meneliti penemuan-penemuan baru menerusi pembacaan. Pembacaan boleh berlaku sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik seperti internet. Kekuatan tamadun dalam tradisi Islam antara lain berpunca daripada kegemaran ilmuannya membaca. Mereka membaca tidak saja apa yang tersurat di dalam al-Quran, tetapi membaca apa yang tersirat di dalamnya menerusi kaedah tafsir. Ayat-ayat al-Quran tidak saja ditafsir secara literal ataupun secara luaran tetapi didalami maksud dan hikmah di sebaliknya. Tidak saja ia dibaca untuk dapat pahala atau fadilat tetapi menjadikan intisarinya amalan dan penghayatan.Para remaja Islam harus bersedia di samping menghafaz dan membaca al-Quran, mereka harus ada kecenderungan untuk mendalami isinya. Ayat-ayat al-Quran ada latar-turunnya (asbabun Nuzul) kerana wahyu itu sendiri tidak turun dalam bentuk tekstual saja tetapi merujuk pada konteksnya atau pada realiti semasa.
Kemampuan ulama tafsir ialah menggali intisari yang amat bernilai untuk pedoman manusia. Sebab itulah ramai saintis Islam pada masa yang lalu menghafaz al-Quran pada umur yang awal dan meneliti tafsirnya sebagai pedoman melakukan kajian dan penelitian. Para remaja hari ini boleh menjadikan al-Quran dan tafsirnya yang berbagai-bagai sebagai sumber mendapatkan ilmu dan hikmah. Setiap kalimah al-Quran yang dibaca oleh para remaja akan diberikan ganjaran yang setimpal. Betapa kalau bacaan diikuti dengan memahami isinya, para remaja akan mendapat kekuatan ilmu yang luar biasa sebagai pedoman diri dan bimbingan hidup. Para remaja boleh membaca tafsir al-Quran yang diusahakan oleh Hamka, Ahmad Sanhaji, Departmen Agama Indonesia dan Jabatan Perdana Menteri Malaysia sebagai asas. Kemudian para remaja yang mampu boleh melanjutkan lagi dengan membaca tafsir tulisan Syed Qutb, Yusof Ali, Muhammad Assad, Ibn Kathir, al-Qurtubi dan banyak lagi. Membaca pelbagai tafsir tidak saja memperkayakan khazanah fikir tetapi menyuburkan lagi talian zikir.Upaya fikir dan talian zikir para remaja harus kuat.
Upaya fikir membolehkan remaja memiliki kekuatan akal untuk dikembangkan. Ilmu yang bernilai daripada al-Quran membolehkan para remaja memiliki tabiat mendapatkan ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat yang dipimpin oleh Allah. Upaya zikir membolehkan remaja memohon petunjuk dan hidayat daripada Pencipta. Apa yang remaja fikirkan dengan kekuatan akalnya dan bentuk zikir yang menghubungkan dirinya dengan Allah, membolehkan remaja mendapat pedoman dan ilmu yang mempunyai hikmah. Asas fikir dan zikir dalam erti kata yang luas mampu membina tradisi membaca yang tinggi di kalangan remaja kerana yang dibaca adalah sesuatu yang berguna dan sumber yang dibaca adalah saluran petunjuk yang membolehkan budaya 'iqra' menyebati dalam jiwa dan hati, dan itulah maksud membaca yang diredai Allah.

Oleh: Prof. Dr. Sidek Baba

*PROF. DR. SIDEK BABA ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Membaca Menjadikan Hidup Kita Lebih Sempurna

Mambaca Menjadikan Hidup Kita Lebih Sempurna

Salam,
Dalam era informasi ini, masyarakat Malaysia seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan melalui pambacaan untuk menangani cabaran semasa.ironsnya, tabiat gemar membaca di kalang masyarakat Malaysia semakin merosot mengikut peredaran masa. Menurut perangkaan yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahin 1996, purata membaca setiap orang rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku setahun. Fakta ini amat menyedihkan kerana sedangkan negara kita sedang bergerak menuju wawasan 2020 yang baeteraskan teknologi maklumat,masyarakat Malaysia semakin jauh ketinggalan dalam pemikiran mereta.
Apakah sebabnya buku-buku ilmiah menjadi makanan anai-anai walaupun kadar celik huruf negara Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia? Kecanggihan media elektronik, terutamanya televisyen adalah antara faktor penyebab orang tidak gemar membaca. Malaysia Malaysia kini umumnya lebih suka duduk menonton televisyen pada masa lapang berbanding dengan membaca buku. Sementelahan itu, sistem pendidikan negara kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan mungkin menyumbang ke arah kemerosotan minat membaca di kalangan masyarakat. Oleh sebab tumpuan yang lebih diberikan untuk buku-buku teks yang akan menjamin kecemerlangan dalam peperiksaan, para pelajar tidak ada masa untuk membaca buku-buku di luar bidang pengajian mereka. Dewasa ini, bahan-bahan picisan dan semiprono membanjiri pasaran buku di negara kita. Keaadaan ini telah menyebabkan buku-buku ilmiah kuarang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Malaysia.
Dalam hal ini, kerajaan perlu mengadakan kempen membaca dari masa ke masa untuk memupuk minat membaca di kalangan masyarakat. Kempen-kempen inin tidak harus terhad di kawasan tertentu sahaja, sebaliknya diadakan secara meluas di seluruh pelosok negara, termasuklah kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman. Sehubungan itu, kerajaan perlu menggunakan saluran media massa untuk mempromosikan kempen membaca yang diadakan supaya matlamat melahirkan masyarakat yang suka membaca tercapai. Kerajaan juga wajar mengurangkan cukai jualan atau penerbitan buku supaya harga buku dapat dikurangkan. Sekiranya harga buku tidak terlalu mahal dan mampu dibeli oleh orang ramai, nescaya jualan buku akan menjadi laris dan keadaan ini seterusnya dapat memupuk minat membaca di kalangan masyarakat.
Selain itu, pihak sekolah juga harus mengadakan ceramah kesedaran membaca di sekolah untuk memupuk minat membaca di kalangan pelajar. Minggu yang tertentu juga patut ditetapkan sebagai “Minggu Membaca” oleh pihak sekolah. Sepanjang “Minggu Membaca” ini, aktiviti-aktiviti seperti pertandingan membaca yang bertujuan untuk menyuburkan minat membaca di kalangan pelajar harus diadakan, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pada masa kini, masih terdapat banyak sekolah di negara kita yang tidak mempunyai perpustakaan atau pusat sumber yang lengkap, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar. Sesungguhnya, keadaan ini menjadi penghalang kepada sesetengah pelajar yang miskin untuk mengamalkan tabiat membaca. Oleh itu, pihak sekolah seharusnya berusaha menyediakan pusat sumber yang mempunyai kemudahan lengkap serta buku-buku yang berkualiti tinggi.
Di samping itu, pihak penerbitan swasta perlu meningkatkan penerbitan buku-buku ilmiah yang sesuai untuk tatapan pembaca. Selain Dewan Bahasa & Pustaka, tidak banyak lagi penerbit swasta yang menjadikan buku ilmiah sebagai agenda utama perniagaan mereka. Pihak penerbitan swasta ini masing-masing memilih untuk menerbitkan bahan bacaan yang sentiasa mendapat sambutan dan cepat pula mendatangkan laba, misalnya bahan-bahan picisan yang menonjolkan seks dan juga nilai-nilai biru yang lain. Oleh sebab itu, pihak penerbitan wajar menukar haluan dan melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bagi mengangkat martabat dan memupuk budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Pihak penerbitan juga tidak harus menjadikan perolehan keuntungan sebagai perkiraan utama semasa menerbitkan buku-buku. Sebaliknya, mereka perlu senantiasa memastikan hraga buku-buku adalah berpatutan dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat. Seboleh-bolehnya para penerbit harus mengadakan pesta-pesta buku sebulan-sekali dan memberikan diskaun untuk menarik orang ramai membeli buku-buku.
‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca di kalangan anak-anak amatlah penting. Ibu bapa seharusnya mengamalkan tabiat membaca untuk menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan minat kepada kanak-kanak untuk membaca. Selain itu, ibu bapa perlu menimbulkan suasana yang akan membiasakan diri kanak-kanak dengan bahan bercetak atau buku. Salah satu caranya adalah dengan menyediakan perpustakaan mini di rumah supaya anak-anak terdedah kepada bahan-bahan bacaan pada usia yang muda lagi. Ibu bapa juga harus memilih hadiah yang sesuai untuk anak-anak mereka yang masih kecil seperti buku cerita yang mempunyai ilustrasi gambar. Lama-kelamaan, minat membaca akan tertanam dalam sanubari anak-anak mereka secara automatik.
Natijahnya, usaha memupuk minat membaca di kalangan orang ramai perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh sebagai salah satu priority negara. Sesungguhnya, jambatan kepada penguasaan ilmu itu adalah membaca seperti yang digambarkan melalui firman Al-Quran yang berbunyi ‘bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan’. Sekiranya masyarakat Malaysia tidak mempunyai ilmu yang tulen dan bernilai, Wawasan 2020 akan terus menjadi angan-angan yang tidak dapat direalisasikan